Islam dan Ketuanan Melayu (1)

Fahri Abdullah al-Masri

Konsep Ketuanan Melayu adalah suatu ungkapan yang diutarakan Dr Mahathir dan dipercayai ia tak pernah dibangkitkan oleh Perdana Menteri dan Presiden Umno sebelum Dr Mahathir. Ringkasnya, ‘Ketuanan Melayu’ itu satu hubungan yang terikat kuat dengan beliau. Apa-apa yang terjadi selepas artikel ini tersiar, beliau turut terheret sama.

Agar lebih bertanggungjawab, biarlah saya nyatakan di sini bahawa buah fikiran ini saya temui ketika berbual ringkas bersama Dr Muhammad Nur Manuty. Saya rasa, beliau sendiri pun terlupa bahawa saya pernah menelefonnya ketika meminta buah fikirannya mengenai hal ini.

Tambah beliau lagi, Ketuanan Melayu juga tak pernah digemakan pada atau sebelum 13 Mei 1969. Ringkasnya, apa-apa pun, memang Dr Mahathir itulah yang mesti menjawab di dalam http://www.chedet. com sekiranya beliau ingin menbela diri.

Pun begitu, sayugia diingatkan bahawa, apabila kita menyatakan Ketuanan Melayu tidak wujud pada asalnya, itu bukan bererti institusi kesultanan Melayu terbatal dan kedudukan Melayu sebagai tuan, pemilik atau bangsa yang diberikan hak oleh Allah terhadap negara ini akan terbatal. Sama sekali tidak.

Maksud saya, jika Dr Mahathir tidak ditakdirkan sebagai PM dan lafaz Ketuanan Melayu itu tidak keluar, meniti dari bibirnya dalam Perhimpunan Agung Umno dulu, hal Melayu sebagai pemilik atau bangsa yang diberikan hak oleh Allah ke atas negara ini tidak akan pernah terbatal atau hakikat itu tidak akan tercuit walau sedikit pun.

Beliau cuma perkakas, alat untuk diperalatkan untuk mengukuhkan Ketuanan Melayu itu. Dan saya masih ingat bahawa Dr Muhammad Nur Manuty menyebutkan bahawa lafaz itu terlahir dari Perhimpunan Agung Umno pada satu masa lalu kesempatan itu telah diambil oleh kalangan ilmuan, pensyarah, cendekiawan dan sebagainya sebagai satu wacana.

Semua mereka akan mendapat habuannya sesuai dengan niatnya. Jika mereka menulis itu bertujuan membodek Tun Mahathir, maka habuannya hanya Allah yang memutuskannya kelak di akhirat. Tapi, yang masih dapat kita kaji ialah atas dasar dan sebab apakah, maka dengan tiba-tiba, Ketuanan Melayu itu meluncur dari bibir Tun Mahathir?

Hal ini masih kekal sebagai suatu misteri atau bersifat X-Files. Tun Mahathir mempunyai rekod yang buruk dengan istana. Pernah satu ketika, hanya dengan sebab suatu kesilapan seorang raja, maka seluruh institusi kesultanan menanggung akibat dan media-media pun berlumba-lumba merekodkan lalu keterlaluan menghukum kesilapan itu.

Sedangkan, ada bezanya antara manusia dan kemanusiaan, Islam dan Muslim. Dan begitu juga seorang raja dengan institusi kerajaannya atau seorang sultan dengan kesultanannya. Mengapakah melalui kesilapan seorang sultan, maka kesultanan menanggung akibat?

Hal ini yang perlu diulas dalam http://www.chedet. com. Atas sebab itulah, kita ada sebab yang kukuh untuk meragui Ketuanan Melayu dalam takrifan Umno kerana lafaz itu lahir dalam Perhimpunan Agung Umno. Samalah juga, rakyat meragui Islam Hadhari lantaran lafaz itu dibidankan dalam ‘seminar pemikiran Umno’ dan ia bukan didebatkan oleh para golongan cendekiawan di universiti pada asal mula kelahirannya itu.

Ringkasnya, jangan sesekali dianggap bahawa dengan sebab Tun Mahathir yang berawal konsep Ketuanan Melayu itu, maka beliau adalah antara penyelamat Melayu 100 seratus. Sesekali jangan dianggap dan dilihat begitu.

Kita khuatir Ketuanan Melayu itu dihubungkan dengan Umno. Masih selamat lagi jikalau Ketuanan Melayu itu dihubungkan dengan Raja-Raja Melayu. Ini kerana, secara idealnya institusi raja-raja itu dilihat sebagai pelindung agama Islam, walaupun kita tahu bahawa mereka lebih banyak menerajui FAM dan pertandingan bola sepak.

Itu bab lain. Kita melihat dari segi idealnya dan jangan menoleh ke arah realiti lagi. Dan semua hal-hal yang tersebut nanti akan lebih banyak terkait dengan ideal. Dan, hal inilah yang menyebabkan ramai orang tidak bersabar dalam perdebatan.

Maka, untuk akhirnya, izinkan saya jelaskan lagi konsep Ketuanan Melayu di sini, iaitu hal Ketuanan Melayu di Malaysia ini mestilah dihubungkan kepada Raja-Raja Melayu kerana institusi ini dihubungkan sebagai pelindung agama Islam. Itu yang pertama.

Kedua, Ketuanan Melayu itu mestilah dihubungkan dengan Allah s.w.t kerana Dia adalah pemilik bumi bertuah ini. Dan, Dialah yang telah menganugerahkan kepada kita sebidang tanah yang bernama Suvarnabumi, Tanah Melayu, Malaya Merdeka dan Malaysia.

Amalan rahsia nenek moyang bangsa Melayu
Sekarang kita masuk kepada perbahasan kedua. Kenapakah Tuhan memberikan tanah ini kepada nenek moyang kita yang berbangsa Melayu. Mesti ada sebabnya dan mestilah ada tujuannya. Pasti ada sesuatu amalan rahsia yang dilakukan oleh umat terdahulu sehingga menyebabkan Tuhan mahu sebidang tanah semenanjung ini diberi kepada mereka.

Amalan rahsia itu adalah dakwah. Sebelum kedatangan Islam lagi, sudah timbul anutan, kepercayaan kepada Tuhan yang Maha Esa. Kita namakan anutan ini sebagai Tauhid.

Mereka telah lama mengembara dan menjelajah guna menyebarkan fahaman dan agama ini. Boleh jadi, mereka ini adalah keturunan Nabi Ibrahim atau nabi-nabi yang mengajar mereka akan konsep dosa, pahala, syurga, neraka, tiupan sangkakala dan lain-lainnya.

Ini semua istilah yang ada hubungannya dengan hari akhirat. Ketika tibanya Islam, maka tidak pula orang kita menyebut as-Sawab, al-Ajru, al-Jannah (syurga), an-Naar (neraka). Maka, istilah ini kekal sebagai sebutan biasa. Sudah tentu, ada nabi-nabi dan rasul-rasul yang mengajar tentang hal ini. Hanya nabi-nabi dan rasul-rasul yang mendidik umatnya yang berbangsa Melayu berhubung hari kebangkitan, hari kiamat dan akhirat.

Setakat saya faham, polemik dan debat berhubung nabi dan rasul Melayu ini, pernahlah tercetus sekitar 1950-an oleh seorang cendekiawan bernama Sutan Takdir Alisyahbana. Namun, usaha menjejakinya terhenti kerana kita mungkin kekurangan peralatan.

Sekiranya idea tentang nabi dan rasul Melayu itu wujud, maka apa hubungannya terhadap Ketuanan Melayu itu? Hubungan ini berlaku dan terjalin dengan sebab doa dan perjanjian antara nabi, rasul tersebut dengan Tuhan.

Jika, nabi dan rasul itu wujud, maka ada kemungkinankah Sang Gedembai itu merupakan nabi-nabi yang pernah menegur kemungkaran umat Melayu dahulu? Lalu, akibat mereka tidak mengendahkan teguran Nabi Sang Gedembai itu, maka Allah menghukum mereka itu menjadi batu? Maka, teguran Sang Gedembai itu bernilai dakwah adanya.

Jadi, ia bukanlah meriwayatkan kisah dongeng seekor haiwan yang menegur manusia lalu dengan tiba-tiba insan itu berubah jadi batu. Yang memegang watak itu, mesti seseorang yang mencapai darjat makam ‘holier than thou’ (lebih suci, mulia daripada yang lain).

Sekarang, marilah kita samakan watak nabi dan rasul itu dengan Nabi Ibrahim a.s. Oleh kerana manusia Melayu yang terawal tadi dilantik menjadi nabi, maka suatu hari dia pun berdoa, menyusun perjanjian dengan Allah supaya ada dalam kalangan zuriatnya dilantik sebagai pemimpin pada akhir zaman.

Ketuanan Melayu terkait dengan doa nabi dan dakwah

Seperti Nabi Ibrahim juga doa itu dipanjatkan bukan dengan tujuan kemuliaan bangsanya malah bagi tujuan berdakwah ke arah penyembahan Allah, menyeru ke arah kebaikan dan mencegah manusia daripada kemungkaran.

Menurut riwayat termasyhur, zuriat dan keturunan Nabi Ibrahim itu terpancar kepada dua sahaja, iaitu bangsa Arab dan bangsa Yahudi. Maka, demikian juga nabi Melayu itu. Pada suatu masa, muncul seorang nabi yang lain lagi atau orang-orang suci yang mencapai satu darjat ketinggian, lalu keturunannya dinisbahkan kepada Melayu sehingga ke hari ini.

Maka, dengan sebab doa Nabi Ibrahim tadi, kedua-dua zuriatnya sudah mendapat negara, lalu terbentuk Ketuanan Arab dan Ketuanan Yahudi. Ketuanan Arab itu terpusat di Hijjaz dan Ketuanan Yahudi itu terpusat di Kanaan. Bezanya, Yahudi mendapat Kanaan melalui jalan peperangan. Manakala Arab, melalui Ismail dan Siti Hajar mendapat ketuanan tanpa pertumpahan darah. Kisah ketuanan Arab ini telah disebutkan dalam al-Qur’an.

Lalu, di Alam Melayu ini, hal yang sama berlaku. Golongan Sang Gedembai ini mungkin telah berusaha keras menyampaikan ajaran tauhid kepada kerajaan-kerajaan lama seperti Gangga Negara dan lainnya. Sebahagian mereka ini telah menerima dakwah dan selamat dan sebahagiannya lagi menolak lalu menerima padah dan celaka.

Syahadan, hikayat dan riwayat inilah yang diperturunkan kepada kita daripada zaman ke zaman, generasi ke generasi sehingga wujud tokok tambah yang tidak masuk akal, lalu ia menjadi suatu kisah dongeng yang mengerikan.

Arakian, demikian serba sedikit kisah berhubung asal-usul Ketuanan Melayu itu. Ia mesti dipautkan kepada kekuatan dakwah Islam dan bukanlah sesuatu yang didengungkan serta digemakan dengan tujuan mengukuhkan legasi Umno, khususnya merujuk pancaran idea dan faham Tun Dr Mahathir Mohamad itu. Wallahu’alam.

3:45 petang, 21 Syawal
Sekolah Pemikiran Kg Baru _

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s