Islam dan Ketuanan Melayu (2)

Fahri Abdullah al-Masri

Akhirnya polemik Ketuanan Melayu meletus kembali menjadi topik perbincangan dalam kalangan cendekiawan Melayu. Ketuanan Melayu adalah suatu konsep yang tidak pernah disebutkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Demikian antara hujah pihak-pihak yang tidak pernah bersetuju dengan Ketuanan Melayu itu. Bagi mereka, kalau hal itu tidak pernah disebutkan dalam Perlembagaan Persekutuan, maka kenapakah hal itu perlu diulang-ulang?

Antara hujah lain, Ketuanan Melayu ditolak lantaran ramai pihak menganggap konsep itu sebagai menunjukkan bangsa bukan Melayu sebagai hamba. Perbahasan mengenai hal ini agak panjang, sulit dan mendalam juga.

Oleh itu, kita akan debatkan hal ini dalam bahagian yang lain pula. Apa yang mustahak di sini ialah kupasan dan hal membedah sedalam-dalamnya hubungan Ketuanan Melayu itu dengan pencipta bangsa Melayu, iaitu Allah s.w.t.

Apabila kita akui hal ini, maka kita boleh mempertalikan hubungan Allah yang mahukan Islam dibawa dan didakwahkan oleh bangsa Melayu ke atas bangsa bukan Melayu dalam Malaysia hari ini. Masyarakat majmuk hari ini adalah suatu ruang untuk bangsa Melayu berdakwah kepada bukan Melayu sebenarnya.

Tetapi, sejauhmana bangsa Melayu berdakwah kepada bukan Melayu di negara ini, maka hal itu termasuk dalam bab lain pula. Bayangkan, apa akan jadi jika negara ini bukannya dimiliki oleh bangsa Melayu? Mungkin, dengan mudahnya dakwah akan tertolak.

Akan tetapi, Ketuanan Melayu yang dimahukan oleh Umno bukannya didasari oleh citra dan semangat dakwah, melainkan perkongsian kuasa dan selebihnya pembahagian kek ekonomi yang diselewengkan sehingga menjatuhkan maruah bangsa sendiri.

Ketuanan Melayu dan Negara Islam

Apakah persamaan antara konsep Ketuanan Melayu dan konsep Negara Islam? Kalau hal Ketuanan Melayu tidak disebut dalam Perlembagaan Persekutuan, maka demikianlah hal Negara Islam yang tidak disebut di dalam al-Qur’an.

Apakah ketidakwujudan Ketuanan Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan dan Negara Islam yang tiada di dalam al-Qur’an itu melambangkan kedua-dua konsep ini tidak wujud sebagai suatu hal yang boleh dibincangkan?

Sama-sekali tidak! Malah, selagimana negara ini dipelihara oleh orang Melayu dan orang Islam, maka konsep ini selalu kekal relevan untuk dibahaskan. Istilah, ungkapan itu boleh diwujudkan selagi mana manusia itu mahukan ia wujud.

Maka, Ketuanan Melayu dan Negara Islam tidak disuratkan, tetapi disiratkan. Ia bukanlah tersurat tapi tersirat. Pun begitu kedua-dua kalimat itu sentiasa berdengung. Dan sebarang usaha untuk membuangnya tidak akan pernah berjaya kerana orang Melayu dan muslimin di negara ini telah diamanahkan oleh Allah untuk memimpin negara ini.

Islam perlukan sesuatu bangsa untuk meneguhkan

Dalam sejarah, Islam diletakkan di atas pundak kaum Arab sebagai bangsa pertama untuk meneguhkan ajaran Tauhid itu. Dan seterusnya ia meniti di atas batang tubuh kaum Parsi, bangsa Kurdish oleh Salahudin al-Ayyubi, bangsa Turki dan lainnya sehinggalah ia jatuh ke atas bangsa Melayu di Kepulauan Melayu atau rantau Nusantara ini.

Ini suatu hakikat yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa pun. Firman Tuhan:-

Dan kenanglah ketika Allah menjadikan kamu khalifah-khalifah sesudah kaum Nabi Nuh, dan Allah telah menambahkan kamu kelebihan (dan kekuatan) pada bentuk kejadian tubuh kamu. Maka kenanglah akan nikmat-nikmat Allah supaya kamu berjaya.” (Al-A’raaf: 69)

Di dalam ayat di atas, Tuhan telah meletakkan ajaran Tauhid ke atas kaum Nabi Nuh dan dengan itu percubaan itu, proses menegakkan khilafah (ketuanan) ke atas kaum Nabi Nuh pun telah bermula. Mereka menolak lalu tercabutlah akar khilafah daripada mereka.

“Dan kenanglah ketika Allah menjadikan kamu khalifah-khalifah sesudah kaum A’ad dan ditempatkannya kamu di bumi, (dengan diberi kemudahan) untuk kamu mendirikan istana-istana di tanahnya yang rata, dan kamu memahat gunung-ganangnya untuk dijadikan rumah. Maka kenangkanlah nikmat-nikmat Allah itu dan janganlah kamu bermaharajalela melakukan kerosakan di muka bumi”. (Al-A’raaf: 74)

Ketuanan khalifah itu cuba dipahatkan ke atas bangsa A’ad. Mereka membina peradaban, ketamadunan yang tinggi seperti yang disebutkan di atas. Dan khalifah telah dipesan agar tidak melakukan kerosakan. Namun, kerosakan tetap berlaku. Dan percubaan meletakkan ketuanan khalifah itu telah pun tamat tempohnya.

“Kemudian Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) khalifah-khalifah di bumi bagi menggantikan mereka yang telah dibinasakan itu, agar Kami melihat apa pula corak dan bentuk kelakuan yang kamu akan lakukan. (Yunus: 14)

Kini, tibalah giliran umat Nabi Muhammad s.a.w pula untuk diberikan amanah, tugas dan tanggungjawab sebagai khalifah itu bagi menggantikan kaum yang telah dibinasakan itu. Dan kini, umat baginda sedang dipantau oleh Allah dengan tujuan yang sama, iaitu Allah ingin melihat sejauhmana kita menggunakan khalifah ketuanan itu bertujuan meneguhkan ajaranNya.

Maka, hal ‘Ketuanan’ itu terkait langsung dengan ‘Ketuhanan’.
Ketuanan jatuh di China dan India

Penjelasan seperti inilah yang menyebabkan kita sedar bahawa kenapa Institusi Raja-Raja Melayu masih wujud dan kekal berbanding Dinasti Maharaja India dan Dinasti Maharaja China telah tumbang. Semua ini terkait dengan ketuanan atau khilafah itu.

Islam masuk ke India, tapi tidak lama dalam bentuk Ketuanan, lalu sistem maharaja India telah roboh. Sebenarnya, rajanya masih ada, tetapi sistem itu sudah tenggelam dan tidak banyak mempengaruhi keputusan melibatkan dasar negara.

Islam pernah masuk ke China. Tapi, yang terkenal cuma Laksamana Cheng Ho dan sosok itu bukanlah keturunan diraja. Akhirnya, dinasti pemerintahan beraja itu berakhir dan tumbang. Setelah gagal di India dan China, ketuanan itu mengalir ke Nusantara.

Tapi, Islam apabila masuk ke Kepulauan Melayu, ia meresap ke dinding istana dan Tanah Melayu terus berubah wajah, rupa parasnya sekelip mata, tanpa pertumpahan darah.

Sebab itulah desakan bukan Melayu agar kuasa istana dirobohkan di negara ini tak boleh dilayan. Ini kerana, Islam cuba memasuki wilayah mereka tetapi mereka menolaknya dan ketuanan mereka terhapus. Lalu, sebahagian mereka dikirim ke negara kita kerana Tuhan ingin memberi peluang kedua kepada mereka untuk mengenali Islam di sini.

Cabaran Islam di Indonesia lebih dahsyat. Ketuanan dan institusi raja-raja berkubur terus kecuali di Daerah Istimewa Yogyakarta (DIY). Jadi, kenapakah ‘ketuanan’ dalam bentuk institusi raja-raja Melayu di Malaysia terselamat?

Semua itu berbalik kepada Perlembagaan Persekutuan di Malaysia yang mana sirah telah membuktikan kebijaksanaan nenek moyang kita dahulu menggunakan ungkapan ‘bangsa’ Islam melawan ‘bangsa’ kafir. Itu ungkapan Tok Janggut, dan lain-lain pejuang.

Warisan perjuangan nenek moyang kita yang panjang inilah antara penyebab kenapakah orang-orang tua Melayu bijaksana dahulu telah digerakkan hati mereka untuk menyusun ayat di dalam perlembagaan bahawa Melayu itu berugama Islam dan raja-raja Melayu itu bertindak sebagai watak pemelihara agama.

Kita menulis begini supaya orang-orang Melayu Umno lekas-lekas sedar diri bahawa hal Ketuanan Melayu itu menjadi satu ungkapan yang istimewa bukanlah kerana kemelayuan mereka. Tapi, kerana mereka itu lemah-lembut, berakhlak mulia dan punya sifat menjaga agama Islam ini bukan hanya dalam bentuk amalan peribadi, malah bersifat dakwah.

Sekali gus, mudah-mudahan Umno yang menyebutkan Ketuanan Melayu itu cepat-cepat sedar bahawa yang disebut dalam perlembagaan itu cuma Melayu sebagai beragama dan Raja-Raja sebagai pelindung Islam.

Dan Tuhan tidak menggerakkan hati mereka untuk menamakan Umno sebagai parti yang memperjuangkan Islam dan melindung Islam di dalam perlembagaan. Syahadan, Umno telah diberikan peluang guna melindungi Islam selama 62 tahun belakangan ini.

Maka, Umno juga akan menerima nasib-nasib seperti kaum A’ad, Tsamud dan digantikan dengan parti-parti lain yang bakal dipantau oleh Allah juga untuk memperjuangkan Islam di negara ini. Umno bukan parti keramat! Sudah tentu Umno boleh direhatkan.


4:51 a.m, 26 Syawal
Sekolah Pemikiran Kg Baru _

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s