Certot 19 – Jiran aku (II)

Oleh: Nizam Zakaria
Dah enam tahun aku duduk kat flat ni, tapi aku rasa, tak ramai orang yang aku kenal yang duduk satu blok dengan aku. Tapi aku kenal dengan Mr. Lim. Aku kenal dia sebab dia pelik sikit. Orang tua yang aku rasa usianya di sekitar lewat 60-an ni, suka bercucuk tanam. Jadi, kalau ada lot kosong dalam kawasan flat aku ni, mesti dia akan tanam dengan pokok bunga, tak pun sayur-sayuran. Aku rasa dia dah banyak kali kena warning dengan pihak pengurusan yang tak bagi dia bercucuk tanam dengan sembarangan. Dah tu, mereka akan musnahkan tanamannya dan biarkan kawasan tanamannya kosong dan digantikan dengan lalang. Mereka kata, kalau mereka benarkan Mr. Lim taman pokok bunga dan sayur, nanti orang lain pun nak ikut sama. Mereka tak nak kawasan flat kami jadi ladang sayur.

Lepas tu aku tengok Mr. Lim tak bercucuk tanam lagi. Dia ada juga nak melawan perintah pihak pengurusan, tapi akhirnya dia tak boleh buat apa-apapun, kecuali menghabiskan masanya duduk di atas bangku sambil termenung. Kadang-kala aku akan nampak dia berbual dengan kawan-kawannya yang seusia dengannya. Dia rancak berbual dalam bahasa Hokkien. Tapi banyak kali aku nampak dia keseorangan.

Dua bulan lepas, aku duduk berbual dengan Mr. Lim. Masa tu aku baru sahaja berpisah dengan ex aku. Aku rasa jiwa aku kosong. Aku duduk di atas bangku tempat dia selalu lepak. Aku rasa masa tu aku menangis, aku sendiri kurang pasti. Apa yang pasti, Mr. Lim duduk di sebelah aku, lepas tu dia tepuk-tepuk bahu aku. Dia macam tahu kenapa aku sedih.

Pada hari itu, Mr. Lim bercerita kepada aku tentang dirinya. Mr. Lim kata dia duduk dengan keluarga adiknya di sini. Dia tak pernah berkahwin. Tapi dia pernah bercinta. Cintanya berakhir dengan kekecewaan. Mr. Lim kata masa dia muda dulu, dia bekerja sebagai pengimpal besi. Wanita yang disayanginya separuh mati berkahwin dengan orang lain yang mampu membawanya pergi bercuti dan membelikannya barang yang mahal-mahal. Dia tak mampu semua itu.

Aku tanya Mr. Lim kalau dia rasa sunyi meniti masa-masa tuanya. Dia menarik nafasnya dalam-dalam. Dia hanya tersenyum. Kelat. Dia kata tak ada apa di dalam dunia ini kekal, termasuk kebahagiaan. Itulah kata-kata terakhir dia kepada aku.

Tiga hari yang lepas aku dapat tahu Mr. Lim baru sahaja meninggal dunia. Aku tak sempat untuk bertanya kepadanya sampai berapa lama dia membawa beban rasa rindu dan kecewanya kepada wanita yang telah mengecewakannya. Sebab beban rindu yang aku tanggung mengingati ex aku terlalu berat rasanya.

Mungkin Mr. Lim tahu jawapannya. Aku berjalan ke arah lot tempat Mr. Lim pernah bercucuk tanam dengan cangkul, benih pokok bunga dan baja yang aku baru beli dari pasaraya Giant. Di situ aku akan dapat tanam sekali segala gumpalan rasa sedih di dalam hati aku yang selama ini terpaksa aku tanggung seorang diri.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s