Kontrak sosial senjata ampuh Umno

Oleh Wan Hamidi Hamid

OKT 17 — Tidak ada sesiapa yang perlu mempertikaikan kontrak sosial antara kaum yang telah mewujudkan Malaysia merdeka lebih 50 tahun lalu. Ia adalah tolak ansur yang telah diterima ramai sejak lebih setengah abad.

Oleh itu, keputusan mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-215 yang meminta semua pihak tidak mempertikaikan kontrak sosial adalah pengulangan pendirian wajar yang telah pun dipersetujui bersama antara kaum. Memang ia patut disokong.

Namun, apa yang dipersoalkan selama ini adalah penyalahgunaan tafsiran dan penyelewengan kontrak berkenaan yang mempunyai kaitan rapat dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan berhubung keistimewaan Melayu.

Malah, Prof Diraja Dr Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid pernah membangkitkan isu itu apabila beliau menyatakan istilah “kontrak sosial” dalam konteks politik hari ini digunakan oleh ahli-ahli politik untuk kepentingan mereka.

Dalam satu forum pada Mei lalu, tokoh akademik itu menjelaskan kontrak itu sebenarnya justifikasi kepada tindakan afirmatif untuk membantu golongan miskin memperolehi peluang dalam beberapa bidang termasuk pendidikan.

Dalam hal ini, apa yang dimaksudkan oleh Majlis Raja-Raja ialah menghormati Perlembagaan kerana ia adalah persetujuan bersama bapa-bapa Merdeka dalam usaha mewujudkan sebuah negara berdaulat pada 1957.

Tetapi hari ini apabila kontrak sosial dibangkitkan di celah-celah kemelut politik, ia lebih jelas menjurus kepada permainan politik kaum. Agenda ini sering digunakan oleh Umno sebagai tulang belakang parti pemerintah Barisan Nasional untuk menolak kritikan terhadap kelemahan pentadbiran kerajaan.

Apa yang berlaku selama ini adalah parti-parti pembangkang, malah parti-parti komponen BN sendiri telah mempertikaikan penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan diskriminasi kaum oleh pimpinan Umno, dan bukannya mengkritik Perlembagaan Persekutuan.

Namun untuk mengalih pandangan rakyat, terutamanya orang Melayu, Umno sering berselinding di sebalik kontrak sosial sebagaimana yang dijelaskan oleh Ungku Aziz, agar tidak ada sesiapa yang berani mara untuk menentang “lembu suci” itu.

Inilah masalah yang sering dihadapi oleh pengkritik-pengkrit ik Umno, termasuk pemimpin politik Melayu dari pelbagai parti lain. Dengan bertopengkan perkauman, kepimpinan Umno telah menggunakan manipulasi politik untuk menjerat sesiapa sahaja yang menegur mereka dengan menyorong ke arah kontrak sosial.

Mesej Umno mudah sahaja — mengkritik Umno bererti mencabar kontrak sosial, dan ini membawa maksud menentang Perlembagaan Persekutuan.

Sedangkan rekod penyelewengan dan manipulasi Umno terhadap kontrak sosial dan Perlembagaan telah menjalar jauh ke dalam masyarakat sehingga menimbulkan barah perkauman; menyemai rasa benci antara kaum.

Yang tragis, ada juga pemimpin Melayu dalam Parti Keadilan Rakyat dan Pas yang terperangkap dengan politik perkauman Melayu ciptaan Umno sehinggakan slogan Ketuanan Rakyat — keadilan untuk semua kaum dan agama — seolah-olah diketepikan atas nama perpaduan Melayu.

Apakah ini bermakna Ketuanan Rakyat — sebagai alternatif kepada Ketuanan Melayu — yang dilaungkan oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim akan lenyap ditenggelami politik perkauman Umno?

Walaupun PKR, Pas dan DAP meraikan kemenangan tsunami politik Mac 8, semangat perkauman di kalangan rakyat masih menebal. Anwar seolah-olah semakin hilang pengaruh di segi membanteras ketuanan kaum kerana selain DAP, dua lagi parti sahabat Pakatan Rakyat lebih banyak berdiam diri apabila berdepan dengan isu-isu berasaskan Melayu.

Sehinggakan Pas yang melaungkan slogan Islam Untuk Semua turut merasa bersalah apabila dicabar Umno berhubung keistimewaan orang Melayu. Apakah pemimpin-pemimpin Pas sendiri tidak yakin dengan ideologi agama mereka sehingga tunduk dengan tekanan perkauman?

Jika ini berlarutan, usaha Pakatan Rakyat untuk membentuk masyarakat baru yang lebih bertolak ansur dan muhibah yang beteraskan keadilan akan berkubur begitu sahaja dibawa arus perkauman.

Kaum bukan Melayu sudah lama akur dengan pendirian Raja-Raja bahawa mereka tidak perlu “khuatir dan bimbang dengan hak-hak sah mereka tersebut telah dijamin mengikut Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan-peruntuk an yang terkandung dalam Undang-undang Tubuh Negeri-negeri di Malaysia yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan” kerana ia sememangnya telah terjamin.

Namun yang dipersoalkan ialah muslihat Umno dalam manipulasinya untuk memastikan ketegangan kaum sentiasa di tahap yang tinggi. Selagi masyarakat Malaysia syak wasangka antara satu sama lain, Umno akan tetap relevan kerana kekuatannya bergantung kepada politik kaum.

Apabila kaum-kaum di Malaysia merasakan perbezaan warna kulit dan agama bukan lagi perkara penting yang boleh memisahkan tali silaturahim mereka, ia akan menjadi berita buruk buat Umno.

Tetapi Umno tetap gagah hari ini. Dan ini bererti politik perkauman masih menjadi pilihan ramai, termasuk kalangan tertentu dari parti-parti pembangkang Melayu. Apakah Ketuanan Rakyat akan kecundang di tangan Ketuanan Melayu?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s