Certot 23 – Keris

Aku nampak si Mudim sedang terjerit-jerit sambil menghayun-hayunkan sebilah keris kayu untuk menggores langit. Aku suruh dia berhenti. Aku kata, kalau dia tak berhati-hati nanti dia akan menikam diri. Dia tak nak dengar cakap aku. Dia mengejek-ejek aku.

Aku terus berjalan ke arah pantai. Petang tu aku nak berjumpa dengan Pak Kasim di pondok kecilnya di tepi laut. Pak Kasim dahulu seorang nelayan. Tapi sekarang dia dah terlalu tua untuk buat kerja-kerja berat di tengah-tengah laut. Dia duduk serumah dengan Pak Tarmizi yang masih tegap dan masih lagi turun ke laut untuk mencari rezeki. Dua-dua bujang terlajak. Dari apa yang aku tahu, mereka telah duduk bersama di sini sejak mereka muda.

Pak kasim demam biasa. Tapi sebab dia tua, sebab tu lah keadaan dia nampak terlalu lemah dan kusut. Aku keluarkan ubat dari bag aku lalu aku serahkan kepada Pak Tarmizi. Aku beritahu Pak Tarmizi supaya jangan risau, dua tiga hari baiklah orang tua tu nanti. Pak Kasim hanya perlu banyak berehat.

Pak Tarmizi tanya aku berapa yang harus dia bayar untuk harga rawatan Pak Kasim. Aku kata aku buat kerja ni secara percuma. Memang niat aku sejak kecil lagi untuk bantu orang-orang susah di sini. Sebab itulah aku nak jadi doktor. Tapi aku tak beritahu semua ini kepadanya. Aku hanya bersalam kepadanya untuk menandakan aku mahu beredar dari sini.

Ketika bersalam dengannya, Pak Tarmizi tiba-tiba berkata, tak lama lagi mereka terpaksa berpindah. Aku kata aku tahu. Zeti yang bekerja sebagai jururawat di klinik aku beritahu kepada aku seorang Datuk mahu membina sebuah spa di sini untuk perempuan simpanannya, seorang pelakon terkenal dari Kuala Lumpur.

“Aku tak mahu pindah!” getus Pak Kasim separuh meracau. Pak Tarmizi mengusap-usap dahi Pak Kasim sambil memujuknya supaya diam. “Aku dah lama duduk di sini! Kenapa aku kena pindah?”

Pak Tarmizi beritahu aku tuan tanah yang membenarkan mereka duduk di sini dah lama meninggal dunia. Anak arwah tuan tanah yang beria-ia jual tanah ini kepada Datuk Jaafar yang nak bina spa ala Thai di sini. Anak tuan tanah sekarang ke hulu ke hilir dengan kereta BMW barunya. Pak Tarmizi kata, kalau dia berduit, memang dah lama dia nak beli tanah yang didudukinya. Tapi dia kata dia sedar dia miskin.

Aku hanya mampu mendengar penjelasannya itu lalu mengeluh. Aku rasa tak ada apa-apa yang dapat aku lakukan untuk membantu mereka.

“Doktor Leong… Kenapa doktor tak pindah ke kuala Lumpur macam budak-budak muda lain dari kampung ni?” tanya Pak Tarmizi kepadaku apabila aku berjalan beberapa tapak meninggalkan pondoknya.

Ini kampung aku. Aku lahir di sini. Kedai runcit mak bapak aku masih berdiri tegak di hujung kampung ni. Aku nak beritahu semua ini kepadanya, tapi aku diam. Aku hanya mampu tersenyum kepadanya sambil berjalan pergi.

Si Mudim anak si tuan tanah dengan BMW baru tu masih bermain dengan kerisnya. Dia masih mengejek-ejek aku. Dia kata aku Cina kopet mata sepet dan aku berak tak cebuk. Aku biarkan sahaja. Lagipun, apa dia tahu? Dia masih budak lagi…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s