Orang Asal – Jawapan Menteri (II)

Sumber: Hansard parlimen 17 November 2008

Tan Sri Dato’ Muhammad bin Muhammad Taib: Terima kasih. Saya ingin memaklumkan mengenai Jalan Melintang ke Bung Ubai di Limbang dan Jalan Ulu Tembuli di Parlimen Silam. Sebenarnya kedua-dua jalan ini telah dimasukkan di bawah Kajian Separuh Penggal. Insya-Allah ia akan dilaksanakan tidak berapa lama lagi.
Ahli-ahli Yang Berhormat, sebelum saya pergi kepada Yang Berhormat Ampang dan Yang Berhormat Sungai Petani, Yang Berhormat Libaran membangkitkan perkara yang dikatakan sebagai menaikkan taraf. Sebenarnya kerajaan memang memperuntukkan perbelanjaan yang agak besar juga iaitu lebih kurang RM1 bilion lebih termasuk di bawah Kajian Separuh Penggal dan apa yang diluluskan oleh belanjawan baru-baru ini. Tambahan rangsangan yang telah diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Kewangan mengenai perbelanjaan yang agak besar ditumpukan untuk membina jalan-jalan kampung dan jalan-jalan luar bandar.
Saya berharap dengan jumlah peruntukan yang besar yang diluluskan ini maka banyak kawasan terutamanya di Sabah dan Sarawak akan dapat dibina sebanyak dan secepat mungkin iaitu di kawasan-kawasan luar bandar yang agak ketinggalan sedikit jika dibandingkan dengan kawasan di Semenanjung.
Yang Berhormat Ampang membangkitkan mengenai program yang tidak dijemput oleh JKKP. Insya-Allah saya akan maklumkan kepada JKKP supaya menjemput Yang Berhormat dalam program-program yang dilaksanakan. Yang Berhormat Sungai Petani kata JKKP tidak ada kerja. Sebenarnya mereka telah pun bertugas dengan begitu baik. Saya sudah pergi ke Kedah, kalau kita lihat kampung-kampung yang dimajukan hampir 90% daripada infrastruktur luar bandar di Kedah dimajukan oleh JKK ini. Mereka sebenarnya adalah JKK asal. JKK mereka inilah yang telah memajukan kampung halaman hampir 50 tahun, banyak jasa mereka. Kalau kita kata mereka tidak menyumbang apa-apa sebenarnya dengan izin, we are not fair. Terima kasih.
Yang Berhormat Lipis membangkitkan isu mengenai permohonan pembinaan jalan bandar baru Kuala Lipis, Kuala Kechau, Kuala Watun, Lipis, Pahang. Untuk maklumat Ahli Yang Berhormat siling bagi projek luar bandar untuk Rancangan Malaysia Kesembilan bagi negeri Pahang berjumlah RM213.4 juta. Sehingga kini sebanyak tiga projek jalan luar bandar sedang dilaksanakan di kawasan Lipis dan satu projek baru akan dilaksanakan di kawasan ini dalam
Rancangan Malaysia yang ini. Berhubung dengan permohonan yang dikemukakan oleh Yang Berhormat, kementerian akan menimbangkan permohonan tersebut untuk dilaksanakan.
Bagi menjawab pertanyaan Yang Berhormat Rantau Panjang dan Yang Berhormat Batang Sadong mengenai masalah bekalan elektrik masih belum dapat diselesaikan sepenuhnya di seluruh negara. Apakah perancangan kementerian untuk mengisi masalah ini? Sukacita dimaklumkan bahawa sehingga akhir tahun 2007 liputan bekalan elektrik di kawasan luar bandar di seluruh negara adalah seperti berikut: Semenanjung Malaysia 99.9%, Sabah 79.2%, dan
Sarawak 87.0% yang diambil daripada Sektor Tenaga Unit Perancang Ekonomi. Kerajaan sedar bahawa masih terdapat jurang yang besar antara liputan elektrik antara negeri-negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Oleh yang demikian kerajaan telah memperuntukkan peruntukan yang besar untuk memperbaiki keadaan ini.
Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan sejumlah RM838.8 juta atau 85.1% daripada jumlah peruntukan keseluruhan program bekalan elektrik luar bandar diperuntukkan kepada Sabah dan Sarawak. Dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan, kementerian telah diberi peruntukan tambahan sebanyak RM640 juta untuk pelaksanaan projek bekalan elektrik luar bandar di Sabah dan Sarawak. Berdasar kepada tambahan peruntukan ini
kementerian mengunjurkan bahawa liputan bekalan elektrik di kawasan luar bandar di negerinegeri Semenanjung mencapai 100% dan di Sabah dan Sarawak mencapai 90% pada akhir 2010. Khusus bagi kawasan Parlimen Batang Sadong kementerian kini sedang melaksanakan enam projek bekalan elektrik luar bandar. Sambungan talian grid bernilai RM3.1 juta dan memberi manfaat kepada 276 buah rumah. Projek ini sedang dalam pelaksanaan dan akan siap
sepenuhnya sebelum 15 September 2009. Kementerian juga telah mengenal pasti kampungkampung di kawasan Parlimen Batang Sadong dan akan meneruskan pelaksanaan pada awal tahun 2009, tertakluk kepada keupayaan bekalan oleh pihak berkuasa elektrik negeri iaitu SESCO Bhd. untuk mengelakkan masalah susutan bahan bekalan.
Yang Berhormat Kota Belud juga memohon supaya peruntukan untuk pelaksanaan projek bekalan elektrik luar bandar diperbanyakkan khususnya di kawasan Parlimen Kota Belud. Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, sejumlah RM841.25 juta selepas tambahan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan telah diperuntukkan untuk melaksanakan projek bekalan elektrik luar bandar di negeri Sabah.
Kerajaan menjangkakan liputan bekalan elektrik dapat ditingkatkan kepada 90% di negeri Sabah pada akhir 2010. Khusus bagi Parlimen Kota Belud kementerian kini sedang melaksanakan satu projek bekalan elektrik luar bandar sambungan talian grid di Kampung Mendawang bernilai RM0.6 juta dan memberi manfaat kepada 26 buah rumah. Projek ini sedang dalam pelaksanaan dan akan siap sepenuhnya sebelum 15 Julai 2009.
Untuk makluman Yang Berhormat Sabah Electricity Sdn. Bhd. kini sedang menaik taraf stesen suis utama Kota Belud yang dijangka siap pada bulan Jun 2009. Sehubungan itu apabila siap pembinaan stesen suis utama ini kelak semua kampung di kawasan Kota Belud boleh disambung dengan bekalan elektrik.
Yang Berhormat Mambong memaklumkan bahawa masih terdapat 20 buah rumah di kawasan Parlimen Mambong yang masih belum mendapat bekalan elektrik. Yang Berhormat Limbang memohon agar kementerian meneruskan pelaksanaan projek bekalan elektrik di kampung-kampung di sepanjang Sungai Limbang Sarawak.

Bagi maklumat Yang Berhormat Mambong dan Yang Berhormat Limbang, permohonan Yang Berhormat supaya 20 buah kampung di kawasan Parlimen Mambong serta kampungkampung di sepanjang Sungai Limbang diberi bekalan elektrik, adalah dimaklumkan bahawa kerajaan akan menyenaraikan untuk pelaksanaan pada tahun 2009 sekiranya memenuhi skop pelaksanaan Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar.
Tuan Pengerusi, mengenai lampu jalan kampung seperti yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Batu Pahat dan Pendang, adalah dimaklumkan bahawa agihan pemasangan lampu jalan di bawah Program Lampu Jalan Kampung Kementerian adalah seimbang iaitu tidak melebihi 10 unit sebuah kampung. Lokasi untuk pemasangan lampu jalan kampung ini diputuskan oleh Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung bagi memastikan agihan
yang adil dan mengikut keperluan.
Sehingga kini, sejumlah 155,398 unit lampu jalan di bawah Program Lampu Jalan Kampung sudah dipasang di seluruh negara. Kementerian juga kini sedang meneruskan pemasangan 6,368 unit lampu jalan pada tahun 2008 yang akan siap sepenuhnya pada bulan Julai 2009. Kementerian akan meneruskan pelaksanaan projek lampu jalan kampung ini
sehingga semua kampung mendapat manfaat daripada projek ini. Berdasarkan maklumat dari pihak berkuasa elektrik negeri tindakan untuk membaiki kerosakan akan diambil dalam masa tempoh tiga hari bekerja. Untuk maklumat Yang Berhormat juga pemasangan lampu jualan turut dilaksanakan oleh pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Kerja Raya yang menumpukan jalan-jalan utama penghubung kampung-kampung.

Seterusnya bagi maklumat Yang Berhormat Kuala Selangor, senarai untuk pemasangan lampu jalan kampung disenaraikan pendek oleh Pejabat Pembangunan Negeri berdasar kepada skop pelaksanaan projek yang ditetapkan oleh kementerian. Sehubungan itu, tidak timbul masalah kampung-kampung yang dipinggirkan kerana Pejabat Pembangunan Negeri akan memastikan semua kampung yang layak dipasang dengan lampu jalan kampung mesti dipasang di Kuala Selangor. Bagi Program Bekalan Air, Yang Berhormat Kuala Krai telah membangkitkan isu mengenai bekalan air luar bandar di kawasan KESEDAR. Untuk maklumat Yang Berhormat di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan, negeri Kelantan telah diperuntukkan sebanyak RM34 juta bagi Projek Bekalan Air Luar Bandar. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM6.6 juta telah dibelanjakan pada tahun 2006 dan RM12.9 juta pada tahun 2007. Pelaksanaan Projek Bekalan Air Luar Bandar akan diteruskan di seluruh negeri Kelantan termasuk di kawasan KESEDAR yang mempunyai sambungan bekalan air paip dengan pihak berkuasa kerajaan negeri. Selain itu, pihak KESEDAR juga turut menaik taraf bekalan air secara berperingkat-peringkat khususnya bekalan air tandak agar tahap kualiti air sentiasa dalam keadaan baik.
Menjawab pertanyaan Yang Berhormat Rembau mengenai status bekalan air di kawasan estetestet, untuk maklumat Yang Berhormat pelaksanaan program air di luar bandar adalah meliputi kawasan kampung-kampung tradisi, rumah panjang, perkampungan orang asli termasuk kawasan estet-estet yang keluasannya kurang daripada 1,000 ekar atau 405 hektar. Selain itu, kerajaan juga sedang mengkaji untuk memperluaskan Program Bekalan Air Luar Bandar ke
kawasan estet-estet yang berkeluasan lebih daripada 1,000 ekar atau lebih 405 hektar. Mengenai persoalan Yang Berhormat Kuala Selangor, berhubung masih tidak mempunyai bekalan air bersih iaitu di Kampung Sri Aman Tambahan 30 rumah dan menggunakan air perigi, pihak kementerian mengambil maklum mengenai perkara tersebut dan kampung berkenaan akan disenaraikan bagi pelaksanaan pada tahun akan datang. Untuk maklumat Yang Berhormat Batang Sadong pula, di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan sejumlah RM347 juta telah

diperuntukkan bagi pelaksanaan Projek Bekalan Air Luar Bandar di Sarawak. Pelaksanaan projek tersebut adalah berdasarkan kepada senarai keutamaan pihak air negeri dan peruntukkan yang disediakan oleh kerajaan. Bagi Parlimen Batang Sadong, sebanyak  RM569 ribu telah diperuntukkan bagi pelaksanaan Projek Bekalan Air Luar Bandar, pada tahun 2007 hingga 2008 iaitu Projek Pembangunan Paip Utama ke kampung Temiang, Simunjan yang memberi manfaat kepada 200 buah rumah, keluarga. Manakala bagi Projek Bekalan Air Luar Bandar tahun 2009, pertimbangan yang sewajarnya akan diberi kepada kawasan Parlimen Batang Sadong. Bagi Yang Berhormat Mambong pula, kementerian mengambil perhatian mengenai 55 buah kampung yang memerlukan air bersih dan memohon agar Yang Berhormat dapat mengemukakan senarai kampung-kampung berkenaan untuk di ambil tindakan susulan bagi pelaksanaan pada masa akan datang.

Berhubung dengan permintaan Yang Berhormat Limbang, kementerian akan mengambil perhatian mengenai cadangan projek penyambungan paip di sepanjang Sungai Limbang dengan anggaran RM10 juta dan akan diselaraskan dengan pihak berkuasa air negeri bagi pelaksanaan tahun hadapan. Begitu juga dengan Yang Berhormat Silam, kementerian akan memberi pertimbangan yang sewajarnya bagi cadangan penyambungan bekalan air dari Kampung Sagan
ke Kampung Tumisan untuk dilaksanakan pada tahun 2009. Tuan Pengerusi, Yang Berhormat Kuala Selangor telah membangkitkan isu peruntukkan Projek Ameniti Sosial bagi kawasan Kuala Selangor. Untuk maklumat, pada tahun 2008 sejumlah RM280 ribu telah diperuntukkan membabitkan 13 Projek Ameniti Sosial di kawasan Kuala Selangor, untuk tahun 2009 kementerian akan meneliti permohonan yang telah dikemukakan oleh Yang Berhormat untuk
dilaksanakan.

Yang Berhormat Silam, telah memohon pihak kementerian untuk menyatakan jumlah peruntukkan yang diperuntukkan kepada Parlimen Silam. Untuk makluman Yang Berhormat kementerian telah memperuntukkan sebanyak RM150 ribu untuk Parlimen Silam dan pada tahun 2009 sejumlah RM13 juta akan disalurkan kepada negeri Sabah bagi pelaksanaan Projek Ameniti Sosial dan akan diagihkan mengikut kawasan Parlimen termasuk Parlimen Silam.
Tuan Pengerusi, Yang Berhormat Rembau telah membangkitkan mengenai falsafah utama Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat, SPKR dan program-program yang dilaksanakan. Untuk makluman Yang Berhormat falsafah utama Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat untuk meningkatkan kesejahteraan kumpulan sasar melalui pembasmian kemiskinan dan meningkatkan pendapatan serta kualiti hidup mereka, meningkatkan pendapatan
dan taraf hidup boleh dicapai menerusi peluang pekerjaan dan peningkatan pendapatan manakala, peningkatan kualiti hidup boleh dicapai menerusi prasarana asas, ameniti sosial dan utiliti, pembangunan sosial, institusi dan manusia, teknologi maklumat dan komunikasi dan Program Pembangunan Masyarakat Setempat. Peluang-peluang pekerjaan menerusi SPKR ataupun Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat boleh dicapai melalui program-program
seperti berikut. Program Peningkatan Pendapatan iaitu Projek-projek Ekonomi Kecil di pelbagai bidang, Program Latihan Kemahiran Kerjaya di mana anak-anak golongan miskin tegar diberi latihan, kemahiran sehingga membolehkan mereka mendapat pekerjaan dan pendapatan sendiri.

Leave a comment