Pewaris anjur jelajah pertahan hak bumiputera

Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR

KUALA LUMPUR 23 Nov. – Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) akan mengadakan siri jelajah ke seluruh negara bagi meminta pihak berkuasa mempertahankan kedaulatan agama Islam serta hak kaum Melayu dan bumiputera seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.


Jurucakapnya, Datuk Dr. Maamor Osman berkata, siri jelajah yang akan bermula bulan depan di Selangor sebelum diperluas ke seluruh negara itu, bertujuan menjamin kesejahteraan hubungan kaum dan keamanan di Malaysia.
Menurutnya, siri jelajah itu penting bagi menyedarkan semua pihak bahawa terdapat pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab kini cuba menggugat keistimewaan Islam, Melayu dan bumiputera, seterusnya mengancam keharmonian masyarakat berbilang kaum.

Kata beliau, siri jelajah itu bertujuan mendapatkan persefahaman di antara semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam bagi mengadakan resolusi dan memberi penjelasan kepada rakyat mengenai ancaman-ancaman tersebut.

”Selepas itu, memorandum dan resolusi yang terhasil akan dihantar kepada Perdana Menteri dan wakil Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran siri jelajah itu di sini hari ini.

Dalam majlis itu, kira-kira 500 ahli gabungan Pewaris berarak dari Wisma Sejarah ke balai polis Jalan Tun Razak di sini, bagi membuat laporan polis meminta siasatan dijalankan ke atas lima perkara antaranya Hindraf dan penghinaan ke atas Islam.

Laporan penghinaan ke atas Islam itu dibuat apabila sebelum kumpulan itu mula berarak kira-kira pukul 1.50 petang tadi, seorang wanita berdiri di atas jejantas di situ sambil melemparkan kata-kata kesat ke atas agama Islam dan bangsa Melayu.

Kekecohan berlaku dan beberapa anggota polis yang berada di situ terpaksa mengiringi serta melindungi wanita berkenaan ke kenderaannya.

Sementara itu. menjawab satu soalan, Maamor berkata, Sisters in Islam patut bermuhasabah diri sebelum membuat sebarang teguran ke atas perkara yang ditetapkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan mengenai isu pengkid.

”Ketetapan majlis itu mengikut lunas Islam, al-Quran serta hadis dan Allah sendiri melaknat golongan perempuan yang membawa perwatakan lelaki dan sebaliknya,” tegasnya.

Laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris tempatan semalam menyebut, Pengurus Acara Sisters In Islam, Norhayati Kaprawi mendakwa, pengharaman pengkid dikhuatiri bersifat diskriminasi terhadap golongan perempuan beragama Islam di negara ini.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s