Aku Pun Melayu 4

Amin Ahmad
Dalam siri 1 aku telah tulisan Pengenalan kenapa aku menulis Aku Pun Melayu. Siri 2 ialah kupasan asas pembicaraan sambil dinyatakan bagaimana definisi longgar ini boleh dan telah mengelirukan amalan ramai. Siri 3 aku mengambil pendekatan menerima definisi ini sambil menunjukkan bahawa ia tetap pincang. Siri 4 ini aku akan sambung berkaitan kepincangan ini.

Dulu semasa aku hadir kursus Biro Tata Negara (BTN), aku dilantik menjadi imam bagi kursus tersebut. Oleh kerana aku imam, pegawai BTN yang juga bekas pelajar UPM tersebut ada menyebut dalam sesi pengenalannya “ada orang tuduh kita amalkan Asabiyah. Ustaz (merujuk kepada aku), apa maksud Asabiyah ni cuba bagitau semua”.

Semasa dia tanyakan soalan ini dengan yakin, aku telah pasti bahawa dia mahu merujuk kepada Assabiyah dari pengertian Ibnu Khaldun dalam kitab mahsyur al-Muqaddimah. Namun, aku mahu memetik sumber yang lebih baik iaitu sabda Rasulullah s.a.w. sendiri apabila ditanyakan sahabat r.a..

Jawabku “ketika Rasulullah s.a.w. ditanya sahabat r.a. apa itu Assabiyah, Baginda s.a.w. menjawab ‘mereka yang membantu saudaranya dan menzalimi yang lain’”.

Pegawai tersebut berasa terpukul, lidahnya tergagap-gagap saat cuba mengupas jawapan aku. Sudahnya, dia melepaskan kami untuk minum petang dan solat Asar.

Pada hemat aku, Rasulullah s.a.w. tidaklah mengatakan salah untuk “membantu saudaranya” namun jelas Baginda s.a.w. bertegas keperluan berlaku adil dan tidak menzalimi yang lain.

Di sinilah masalahnya Melayu. Apa yang jelas ialah dalam persoalan kepimpinan, kita mendahulukan persoalan hak berbanding persoalan peranan. Kita bermatian menyatakan “Ini hak kita, jangan siapa berani mempersoalkan. Jika ada, celaka jawabnya!”. Tapi manusia sama, yang bermatian konon mempertahankan hak tadi, kelu lidah terhadap bangsanya saat mereka salah guna kuasa, zalim, rasuah dan pelbagai lagi nilai yang jauh bertentangan dengan semangat nilai agama Islam yang disandarkan definisi Melayu padanya.

Lebih parah lagi, manusia yang tadi kuat melaung, malah ada yang mencium keris barangkali adalah sebenarnya manusia perasuah dan pengamal gaya hidup angkuh bertentangan dengan nilai Islam.

Dengan itu, pengertian Islam itu jadi luluh lantak.

Kita boleh beralasan bahawa jangan menilai agama dari pengikutnya. Tapi kita tak ada sikap yang jelas apabila agama dilegitimasikan untuk apa yang dipanggil hak dan hak yang didakwa ini wewenang jadi sumber rasuah, salah guna kuasa dan segala macam kekejian lagi.

Di atas apa yang mereka namakan hak, nyatalah kita lupa bahawa hak terhadap nyawa dan seluruh kehidupan ini ada pada al-Haq, Tuhan yang Maha Adil. Kita tak pernah bersungguh-sungguh mahu bertanya sama ada apa yang kita dakwa hak ini telah ditunaikan selari dengan hak dan perintah Allah s.w.t..

Ya, tentu saja ada dari kalangan kita mendakwa “Kamilah yang berjuang bermatian untuk agama Allah s.w.t.”. Biarlah aku sebut terus terang di sini bahawa kebanyakan mereka ini dari parti PAS.

Jujurnya, aku tidak ada masalah dengan PAS. Kritik aku dihala insyaAllah dengan justifikasi meski ada seorang rakan pernah mengherdik aku sebagai “kuat menyerang Islam” hanya kerana aku kritikal.

Ya, kata “kuat menyerang Islam” itu sendiri telah menunjukkan fenomena yang sama. Usaha menyempitkan agama pada konteks sebagaimana aku tulis dalam Aku Pun Melayu 2.
PAS tidak salah, tapi itulah hakikatnya. Bahawa PAS sebagai parti politik terperangkap dengan definisi ini meskipun mereka mahu lari daripadanya. Apa nak buat, pengundi Melayu itulah pengundi Islam.

Jika kita dengar ucapan perwakilan Perhimpunan Agung (Khas) UMNO baru-baru ini, aku menjadi kian takut. Dengar bagaimana perwakilan menjadikan Agenda UMNO atas nama hak Melayu sebagai lebih tinggi dari keadilan dengan menggesa jawatan besar kerajaan, badan berkanun seperti universiti serta badan korporat berkaitan kerajaan dan sebagainya dihakmilikkan kepada ahli UMNO.

Apa yang ada dalam minda mereka?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s