Jangan putarbelitkan isu pemelukan Islam

Oleh Zulkifli Noordin (thenutgraph.com)

SAYA sangat tidak bersetuju dengan keputusan kabinet yang mengesyorkan supaya digubal undang-undang untuk menafikan penukaran agama bagi kanak-kanak di bawah 18 tahun. Jawatankuasa itu juga mengesyorkan supaya isu berkaitan ini diberi bidangkuasa kepada Mahkamah Sivil dan bukan Mahkamah Syariah.

Saya tidak pasti sama ada kabinet telah benar-benar diberi penerangan tentang kedudukan perlembagaan dan keputusan-keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes-kes berkaitan. Kerana adalah jelas keputusan kabinet tersebut bercanggah dengan perlembagaan dan bertentangan dengan keputusan-keputusan Mahkamah Persekutuan sendiri.

Malahan saranan kabinet tersebut memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan (Artikel 12, Artikel 121, Jadual 9 Senarai II), merombak kembali keputusan Mahkamah Persekutuan, dan meletakkan Mahkamah Syariah seperti mahkamah kelas kedua.

Seperkara lagi saya melihat dalam negara ini seolah-seolah sudah muncul satu persepsi, iaitu memeluk agama Islam itu bagaikan satu jenayah besar dan pemeluknya, terutamanya yang “convert” tiba-tiba, muncul seperti penjenayah, malahan kekadang sampai hilang segala hak asasi manusia. Ini suatu perkara yang tidak sepatutnya berlaku dalam negara yang diisytiharkan sebagai negara Islam, malahan bukan Islam biasa, Islam Hadhari lagi.

Saya beri contoh kes K Pathmanaban, kini dikenali sebagai Mohd Ridzuan Abdullah, di mana beliau yang asalnya beragama Hindu telah memeluk agama Islam. Beliau juga dikatakan telah menukar agama anaknya yang lahir daripada keluarga Hindu kepada Islam. Isteri beliau dikatakan tidak mengetahui akan perkara ini.

Berikutan kes ini, ramai yang tiba-tiba khuatir tentang hak menukar agama anak bawah umur daripada bukan Islam kepada Islam oleh mana-mana ibu bapa yang memilih memeluk agama Islam.

Sudah ada jawapan

Sebenarnya isu ini telah pun dijawab dengan jelas oleh Mahkamah Persekutuan di dalam kes R Subashini di mana mahkamah menyatakan bahawa isu ini tertakluk kepada Artikel 12 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Artikel 12 (4) memperuntukkan bahawa “ugama bagi seseorang yang berumur kurang daripada 18 tahun adalah ditetapkan oleh ibu bapa atau penjaganya”.

Mahkamah Persekutuan mentafsirkan bahawa hak menentukan agama seseorang kanak-kanak bergantung kepada salah seorang antara ibu, bapa atau penjaga. Bermakna salah seorang daripada mereka berhak untuk menentukan agama yang boleh dianuti oleh anak-anak mereka.

Oleh itu tidak timbul isu dalam kes Pathmanaban @ Ridzuan yang menentukan agama anak beliau sebagai Islam sesuai dengan agama yang beliau anuti sekarang.

Malahan dari segi hukum syarak, ada pendapat yang menyatakan bahawa semua kanak-kanak di bawah umur akil baligh dianggap Islam sebagai agama fitrah. Sama ada mereka disyahadahkan secara formal atau tidak tidak menjadi isu. Sebab itu kalau mana-mana kanak-kanak dijumpai tanpa dapat dikesan ibu bapanya, atau ditemui mati tanpa diketahui agamanya, maka kanak-kanak itu adalah dianggap Islam dan akan diuruskan sebagai seorang Muslim.

Ini sekaligus menyanggah tanggapan mereka yang menyatakan dalam kes seseorang itu masuk Islam tanpa pengetahuan keluarga, maka ini akan menganiaya anak-anaknya kerana mereka tidak mendapat pusaka. Inilah antara isu yang ditimbulkan didalam kes allahyarham Mohd Moorthy Abdullah. Sebaliknya jika seseorang itu masuk Islam dan meninggal, walaupun anak-anak beliau tidak disyahadahkan secara formal (apatah lagi kalau masih bayi dan lain-lain), maka anak-anak itu dianggap berhak mewarisi pusaka beliau menurut hukum pusaka dan pembahagian faraid di dalam Islam.

Ada pihak menyatakan bahawa ini tidak adil kerana menyebabkan pihak ibu hilang hak jagaan terhadap anak-anak mereka.

Isu ini juga tidak timbul kerana hak menukar agama dan hak jagaan adalah dua isu yang berbeza. Ini telah dijawab juga oleh mahkamah dalam kes S Shamala, di mana bapa yang telah memeluk agama Islam dan menukar agama anak-anak beliau tidak diberikan hak jagaan. Sebaliknya, hak jagaan diberikan kepada ibu yang Hindu, dengan satu caveat yang ibu itu tidak boleh menukar agama anak-anak tersebut.

Penganiayaan

Di sana terdapat juga tuduhan menyatakan bahawa si suami memeluk Islam sebagai “pintu belakang” untuk menafikan hak jagaan ibu. Ini adalah kerana apabila bapa atau suami memeluk Islam dan menukar agama anak-anaknya ke Islam, beliau akan pergi ke Mahkamah Syariah dan mendapatkan hak jagaan.

Sebaliknya pihak ibu didakwa tidak boleh pergi ke Mahkamah Syariah kerana masih bukan Islam. Dan pihak ibu tidak boleh mendapatkan perintah Mahkamah Sivil kerana berdasarkan Artikel 121 (1A), Mahkamah Sivil tidak ada bidang kuasa membicarakan hal ehwal berkaitan dengan bidangkuasa Mahkamah Syariah. Hal jagaan kanak-kanak Islam pula adalah dalam bidang kuasa hadhanah Mahkamah Syariah.

Saya tidak menafikan wujud segelintir di kalangan mereka yang memeluk Islam yang memperkudakan sistem perundangan sedia ada untuk mendapatkan perintah jagaan anak dan menafikan pihak yang bukan Islam daripada keadilan sewajarnya. Bagi saya ini suatu persepsi yang salah dan harus diperbetulkan.

Saya berpendapat bahawa isu ini sengaja diputarbelitkan untuk kepentingan sempit golongan tertentu.

Sebagaimana kita maklum, apabila timbul isu hadhanah atau hak penjagaan kanak-kanak maka Mahkamah Syariah, sebagaimana Mahkamah Sivil, akan membicarakan kes tersebut berdasarkan prinsip kebajikan kanak-kanak itu yang diutamakan. Tanggapan menyatakan bahawa si bapa akan mendapat hak jagaan automatik daripada Mahkamah Syariah adalah tidak benar sama-sekali. Apatah lagi tohmahan yang menyatakan kalau si ibu (yang bukan Islam itu) pergi ke Mahkamah Syariah, sudah pasti dia akan kalah kerana Mahkamah Syariah pasti akan menyebelahi si bapa yang sudah memeluk Islam.

Ternyata mereka yang membuat kenyataan tohmahan seperti ini adalah jahil dan tidak mengetahui sistem perundangan Islam. Undang-undang Islam bukan undang-undang rimba yang ditadbir oleh hakim-hakim tarzan mengikut citarasa nafsu tersendiri.

Ini terbukti dalam kes Nyonya Tahir yang telah keluar daripada Islam, mengamalkan kehidupan Buddha dan mati dalam agama tersebut. Setelah mendengar saksi-saksi dan keterangan yang dikemukakan, Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sembilan mengisytiharkan bahawa Nyonya Tahir telah menjalani kehidupan bukan Islam dan mati sebagai bukan Islam. Maka mayat beliau diserahkan kembali kepada keluarga bukan Islamnya.

Yakin dengan Mahkamah Syariah

Apa yang perlu difahamkan pertamanya ialah apabila seseorang bukan Islam membawa kes ke Mahkamah Syariah, ini bukan bermakna mereka telah masuk Islam. Inilah masalahnya apabila ada pihak mengambil kesempatan akibat daripada kejahilan orang awam bahawa pergi ke Mahkamah Syariah bermakna seseorang itu masuk Islam.

Kedua, walaupun seseorang bukan Islam tidak boleh menjadi pihak dalam Mahkamah Syariah (bukan kerana undang-undang Islam tetapi kerana Perlembagaan Persekutuan yang menyekatnya), beliau masih boleh melibatkan diri dalam prosiding di Mahkamah Syariah sebagai saksi.

Bermakna sekiranya si bapa yang telah menukar agama memohon hak jagaan anak-anak di bawah umur baligh, maka si ibu (yang bukan Islam) boleh memohon memberi keterangan dan mengemukakan bukti bahawa si bapa tidak layak mendapat hak jagaan.

Dan yakinlah bahawa Mahkamah Syariah akan menimbang semua keterangan dan bukti menurut undang-undang sedia ada dengan meletakkan prinsip kebajikan kanak-kanak itu sebagai keutamaan. Dan insya Allah jika terbukti si bapa tidak layak, Mahkamah Syariah tidak akan memberikan hak jagaan itu kepada si bapa walaupun dia Muslim. Malahan Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa memberikan hak jagaan itu kepada si ibu, walaupun dia bukan Islam. Dan inilah yang telah dibuktikan dalam kes Nyonya Tahir.

Saya berharap sebelum kabinet mengambil tindakan selanjutnya, hendaklah semua pihak yang berkepentingan diberi ruang untuk mengemukakan pendapat. Dan nasihat saya kepada kabinet, hormatilah keluhuhuran perlembagaan dan hormatilah keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes-kes yang telah pun diputuskan.

Malahan saya difahamkan sudah wujud satu jawatankuasa di peringkat Jabatan Peguam Negara yang sedang dan masih membincangkan isu-isu ini dan isu-isu lain yang berkaitan.

Saya percaya jawatankuasa yang dianggotai oleh bukan sahaja mereka dari bidang guaman, tetapi mufti, ulama, agamawan termasuk wakil Majlis Peguam dan wakil agama-agama lain seperti Majlis Perunding Agama Hindu, Kristian, Buddha, Sikh dan Tao akan cuba mencapai suatu jalan penyelasaian yang boleh diterimapakai oleh kesemua pihak.

Zulkifli Noordin
Ahli Parlimen Kulim Bandar Bharu
Parti Keadilan Rakyat

Leave a comment