Salah Tafsiran Istilah ‘Islam Liberal’

Oleh Najwan Halimi

Istilah ‘liberal’ sering disalaherti oleh masyarakat Islam di negara ini. Tatkala mengungkapkan perkataan liberal, persepsi umum lazimnya membayangkan kehidupan hedonis – liar, suka berhibur, minum arak – serta pengamalan budaya Barat yang tak bermoral.

Di Malaysia, persepsi negatif terhadap istilah liberal turut melahirkan semacam ketakutan dan tanggapan dangkal terhadap apa yang disifatkan sebagai “ancaman Islam Liberal”. Sewaktu di kampus, saya terlibat secara aktif dalam gerakan mahasiswa Islam dan turut giat menyertai perbincangan melalui aktiviti usrah. Ketika itu, topik perbincangan lazimnya menjurus kepada isu-isu yang mengancam dan menjejaskan ‘kesucian’ Islam dan antara sasaran kecaman dalam usrah ialah hasil-hasil penulisan tentang Islam yang cuba mempamerkan keterbukaan dan dimensi bebas dalam berpendapat.

Cukup mengejutkan kerana kumpulan yang saya gauli ini, yang begitu kritikal terhadap “ancaman Islam Liberal”, sebetulnya tidak jelas dan tidak memahami duduk sebenar istilah tersebut. Lebih melucukan ialah bila mana istilah Islam Liberal ini telah digunakan sebagai senjata untuk menghentam dan membidas pendekatan Islam Hadhari yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Abdullah Badawi.

Individu-individu seperti Dr. Farish A. Noor, Astora Jabat, Zainah Anwar dan Fathi Aris Omar (sekadar menyebut beberapa nama) telah dilabel sebagai pendukung aliran Islam Liberal – yang dikatakan mempunyai agenda untuk merosakkan ‘kesucian’ Islam – serta dicemuh sebagai pembawa budaya pemikiran bebas dan songsang.

Sebetulnya, gerakan atau aliran Islam Liberal tidaklah boleh disandarkan sewenang-wenangnya dengan istilah ‘sesat dan menyesatkan’. Seandainya memang wujud kelompok-kelompok Islam yang sesat dan rosak akidah, maka adalah salah untuk menganggap semua pendukung Islam Liberal sebagai sesat dan terpesong iman.

Liberal secara ringkasnya boleh diterjemah sebagai ‘bebas’, maka istilah Islam Liberal secara mudahnya difahami sebagai Islam yang bebas dan terbuka. Kebebasan dan keterbukaan bukanlah sesuatu yang haram dan salah. Tanggapan dan persepsi negatif terhadap Islam Liberal saya kira timbul barangkali disebabkan oleh ketidakfahaman dan kekeliruan dari sudut makna dan istilah.

Tafsiran dan definisi Islam Liberal seharusnya diperbetulkan agar masyarakat Muslim di negara ini tidak lagi memiliki persepsi serong dan negatif terhadap istilah tersebut. Apa yang diistilahkan melalui Islam Liberal bukanlah dimaksudkan dengan ajaran Islam itu sendiri atau bermaksud memisahkan Islam menjadi liberal dan tidak liberal. Istilah tersebut sebetulnya bertujuan untuk membuka dan membebaskan aliran serta gaya berfikir umat Islam.

Dalam erti kata lain, istilah Islam Liberal itu pada asasnya bermakna pendekatan pemikiran seseorang Muslim atau pemahaman Islamnya yang bersifat sederhana, bebas dan penuh keterbukaan. Ianya juga boleh dikaitkan dengan istilah Islam Progresif, Islam Tanwiri (pencerahan) dan juga Islam Madani.

One response to “Salah Tafsiran Istilah ‘Islam Liberal’

  1. Assalamualaikum w.b.t,saudaraku,adakah islam telah meletakkan kebebasan berfikir menggunakan akal semata-mata merupakan apa yang saudara maksudkan?Allah S.W.T telah berfirman dalam surah Ali-‘Imran,ayat 19:”Sesungguhnya agama (yang diredhai) disisi Allah hanyalah Islam”.Tiada sebarang penambahan sedikitpun oleh Allah S.W.T,dan tiada sedikitpun penambahan dibuat oleh Rasulullah s.a.w,jika perkataan tersebut boleh mendatangkan kemudaratan bagi ummah,tinggalkan sbb ia mengelirukan.Islam benarkan kebebasan berfikir selagimana ia tidak bercanggah dengan syarak(kitabullah dan as-sunnah),tetapi tidak memungkinkan penambahan pada perkataan “Islam” kerana perkataan “Islam” sendiri menunjukkan ia merupakan agama yang lengkap,syumul,sederhana,fitrah,selamat,BEBAS dalam pemikiran yang baik selagi tidak ada percanggahan,dan lain-lain.sekian~

Leave a comment